Framework
Mei 24, 2007
Sebelum ini saya sering menggunakan Fusebox 4.1 sebagai framework untuk membangunkan sesebuah aplikasi laman web. Tidak kira sama ada saya menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP atau ColdFusion. Namun setelah membuat kira-kira, saya perlu melangkah setapak lagi iaitu dengan mempelajari sesuatu yang baru bagi diri saya.
Saya pernah membuat sedikit pemerhatian ke atas beberapa framework yang ada dan boleh didapati dengan mudah di internet seperti Fusebox (CF & PHP), Symfony (PHP), CakePHP, Zend (PHP), Prado (PHP), Model-Glue(CF), Mach-II (CF & PHP) dan pelbagai lagi. Saya tidak sempat menguji kesemuanya tetapi hanya sekadar membaca penerangan tentang setiap framework tersebut.
Hari ini saya telah terbaca satu artikel di sebuah laman web yang membezakan antara Fusebox 4.1 dengan Mach-II. Apa yang saya dapat simpulkan ialah Mach-II sesuai bagi pengaturcara yang mahir dengan Object Oriented Programming (OOP) manakala Fusebox 4.1 lebih kepada teknik pengaturcaraan yang biasa atau procedural programming. Namun jika seorang pengaturcara ingin menggunakan teknik OOP di dalam Fusebox 4.1 adalah tidak menjadi masalah kerana framework tersebut sememangnya membenarkan pengaturcara menggunakan teknik OOP.
Beberapa hari yang lepas saya telah cuba mempelajari CakePHP iaitu sebuah framework yang stabil dan semakin popular. Apa yang saya perolehi? Memang menakjubkan. CakePHP merupakan sebuah framework MVC design pattern yang dapat menjimatkan masa pembangunan sesebuah aplikasi laman web dengan syarat, kita perlu terlebih dahulu memahami framework tersebut.
Jadi, saya bercadang memilih CakePHP sebagai framework bagi projek PHP yang akan saya bangunkan kelak manakala berkemungkinan besar saya akan memilih Mach-II bagi projek ColdFusion.


